Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan berkata, beberapa siri Ops Kesan peringkat negeri akan diteruskan sepanjang tahun ini bagi mengesan syarikat yang masih gagal berbuat demikian.

“Sehingga Mac lalu, sejumlah 582 majikan telah diperiksa menerusi Ops Kesan dan 35 daripadanya dikenakan kompaun atas kegagalan mendaftar perusahaan dengan melibatkan kompaun RM29,000 manakala dua majikan dikesan tidak mendaftarkan pekerja masing-masing dan dikenakan kompaun berjumlah RM1,500.

“Selain daripada Ops Kesan secara bersepadu ini, Perkeso negeri juga turut menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan pematuhan majikan kepada peruntukan Akta Keselamatan Sosial 1969,” katanya selepas Program Bersama Pemimpin Masyarakat di Menara Perkeso negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Perkeso negeri, Ismail Abi Hashim.

Vidyananthan berkata, pada tahun lalu, daripada 2,184 syarikat, sebanyak 119 daripadanya dikenakan kompaun berjumlah RM109,000 kerana gagal mendaftar perusahaan sebagaimana yang diperuntukan Seksyen 4 Akta Ke­selamatan Sosial.

Katanya, dalam tempoh yang sama, 30 majikan dikenakan kompaun kerana gagal mendaftarkan pekerja mengikut peruntukan Seksyen 5 akta sama melibatkan kompaun bernilai RM19,500.

“Perkeso tidak akan meng­ambil tindakan undang-undang bagi majikan yang datang secara sukarela mendaftarkan perusahaan atau pekerja mereka. Operasi yang dijalankan bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan akan diteruskan di beberapa lokasi tumpuan seperti di Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang dan Johor Bahru.

“Kita juga akan terus mengadakan lawatan pemeriksaan berkala bagi memastikan usaha pematuhan dan penambahbaikan dapat dilakukan. Selain itu, kita juga akan memberi penerangan kepada pekerja kerana masih ramai yang kurang jelas mengenai hak mereka,” katanya.