MD. ROFIKI SHAMSUDIN (kiri) dan Anoar Sarimin dalam Majlis Prapelancaran Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Johor di Pusat Islam, Johor Bahru, semalam. Utusan/Baazlan Ibrahim

Timbalan Pengarah Pendidikan Agama (Bahagian Pendidikan Islam), Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Anoar Sarimin berkata, kurikulum baharu itu yang dimulakan untuk tahun empat sebelum dilaksanakan bagi tahun lima pada tahun depan dan kemudiannya tahun enam serta darjah khas.

“Kurikulum menggunakan sukatan Kitab Matla’ al Badrin wa Majma’ al Bahrain itu menjadi asas pendidikan agama di Johor, namun kita bentuk menjadi penerbitan baharu. Ini bermakna kitab tersebut diterbitkan semula dengan ejaan dan gaya bahasa yang sesuai pada masa kini.

“Kita juga menjawikan semula kitab berkenaan mengikut kaedah baharu agar mudah difahami,” katanya dalam Majlis Prapelancaran Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Johor (1918-2018) di Pusat Islam, di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan Pengarah JAIJ, Md. Rofiki Shamsudin.

Sambutan yang bertemakan ‘Pendidikan Islam negeri Johor: Memartabatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asyairah dan Al-Maturidiah Melalui Pendidikan Islam Johor’ akan diadakan pada13 September hingga 20 September ini.

Ditanya mengenai perancangan pendidikan Islam negeri ini selepas 100 tahun, Anoar berkata, pihaknya akan terus memberi fokus dalam memperkasakannya, termasuk mengkaji semula silibus atau sukatan pelajaran dari semasa ke semasa.

“Selain itu, kita mahu memperkasakan dari segi kaedah pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran dengan berasaskan teknologi moden. Sekarang pun kita sudah bermula ke arah tersebut.

“Di samping itu, kita mahu memberi tumpuan terhadap program pendidikan agama supaya lebih kondusif dari segi pemba­ngunan dan sebagainya. Malah, kita turut berhasrat pendidikan sekolah agama tidak terhenti setakat di darjah khas dan akan berusaha untuk mengembangkannya sehingga dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Selain memperkukuhkan sistem sedia ada, termasuk sekolah menengah agama, JAIJ turut memperkasakan sistem pendidikan tahfiz yang diyakini sebahagian daripada usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini.