JOHOR BAHRU 11 Sept. - Kerajaan negeri akan terus memperkasakan sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan budaya dalam memacu pembangunan negeri agar tidak tertumpu kepada pembangunan material semata-mata.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya sedar kekuatan ekonomi memiliki pengaruh terhadap survival umat dan kelangsungan kekuatan agama Islam.
“Kekuatan ekonomi tidak seharusnya dipacu kepada pencarian keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengambil hak orang lain atau menggadai kedaulatan negara.
“Menyedari perkara ini, kita akan memperkasakan sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan budaya seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2019-2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 2018 di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Suhaizan Kaiat, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot.
Tambah Osman, agama Islam memberi tapak dan dasar kepada perkembangan dunia moden ketika ini.
“Melalui semangat hijrah, umat Islam mesti bijak dalam memartabatkan dan mendaulatkan Islam setinggi-tingginya, khususnya di negeri ini.
“Sehubungan itu, masyarakat seluruh negeri ini perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti dan ekonomi masing-masing,” ujarnya.