Kerjasama perkongsian data dan informasi pembangunan itu melibatkan syarikat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH); iProperty.com.my; Nextdor Property Communications dan REI Group.

Ketua Eksekutif IRdA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, kerjasama itu akan memberi fokus kepada pengumpulan data untuk perancangan pembangunan masa hadapan Wilayah Iskandar Malaysia membabitkan sosioekonomi dan hartanah.

“IRDA juga akan bertindak sebagai pengkalan data yang menerima maklumat sekali gus memboleh­kan perancangan masa depan dibuat dengan lebih berkesan.

“Pembangunan yang terancang dengan konsep bandar pintar perlu dilakukan dengan maklumat yang tepat. Kita melihat semua data ini daripada dua sudut yang mana satu pihak akan memastikan ia berpusat.

“Ini penting yang mana jika semua data ini berada dalam ke­a­daan berselerak, semangat kola­borasi ini tidak akan terjadi dan kita yang terlibat dalam membuat keputusan ini susah untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU Kerjasama Jangkaan Hartanah Pemantauan Perbandaran (UOPF) Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir menandata­ngani MoU, Pengarah Urusan iproperty.com.my, David Mawer, Pengarah Urusan Nextdor Pro­perty Sdn. Bhd., Imran Clyde dan Ketua Pengarah Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia, Nordin Daharom.

Ismail berkata, dalam konteks tersebut IRDA akan memainkan peranan sebagai agensi yang menjadi pangkalan data dan maklumat berkenaan berpusat.

“Kita juga memerlukan sumber yang diperakui kerana dengan itu baru maklumat itu sahih,” katanya dan memberitahu, perkongsian maklumat itu juga dilihat merupakan sesuatu yang penting serta memerlukan kualiti agar setiap pembangunan dilakukan tidak tersasar serta gagal memenuhi keperluan sewajarnya di kawasan itu.

Pihaknya mahu setiap perancangan tidak berlaku masalah kera­na semuanya sudah diteliti terlebih dahulu dan jika berpegang kepada satu saluran sahaja, misalnya menerusi sumber IRDA sememangnya tidak mencukupi.

“Sebagai contoh, keperlu­an dan pasaran hartanah perlu dinilai dan diperiksa dengan tepat agar memastikannya sesuai dengan populasi penduduk yang semakin meningkat di Wilayah Iskandar,” katanya.

Dalam masa sama katanya, pengumpulan data bukan saja untuk menyediakan rumah mengikut keperluan semasa malah sebagai contoh mengatasi masalah seperti kesesakan lalu lintas.

Sebagai contoh katanya, data tepat sepanjang tahun memboleh­kan mereka mengenal pasti trend pengguna dan cuba menyelesaikan kesesakan lalu lintas.

“Semua data itu akan dikongsi menerusi aplikasi UOPF di mana orang ramai boleh melihat dan memilih jalan yang lebih sesuai,” ujarnya.