Namun kini, hasrat murni seorang pesara, Zahari Othman, 59, yang menetap di Kampung Juaseh, Pekan Air Panas, dekat sini mendapatkan periuk kera yang semakin sukar didapati sambil mengisi masa terluang mampu memberi pendapatan lumayan kepadanya.

Walaupun pada awalnya, Zahari yang bersara kira-kira lima tahun lalu hanya mengambil beberapa ribu periuk kera dari Chini, Pahang setiap kali menjelang Hari Raya untuk dijual kepada rakan-rakan sekampung, namun usahanya itu semakin berkembang kerana mendapat permintaan tinggi.

“Selepas beberapa tahun permintaan terhadap periuk kera semakin bertambah dan tidak terhad menjelang musim perayaan semata-mata, malah sejak dua tahun kebelakangan permintaan sepanjang tahun.

“Sejak dua tahun lalu saya mendapat permintaan daripada peniaga di seluruh negara dan mampu membekal kira-kira 60,000 periuk kera kepada pelanggan setiap bulan dengan harga 25 sen sebiji,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dia mengakui permintaan terhadap periuk kera meningkat sehingga tiga kali ganda menjelang musim perayaan daripada peminat juadah tradisional tersebut dari seluruh negara.

Katanya, selain pelanggan datang mengambil sendiri bekalan periuk kera, dia juga menghantarnya menggunakan perkhidmatan pos laju bagi yang tidak dapat mengambil pesanan, khususnya mereka yang tinggal jauh.

“Bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, saya mengupah 12 Orang Asli di Chini untuk me­ngutip periuk kera di hutan dan akan mengambil bekalan setiap dua hari sekali.

“Namun, bukan semua periuk kera yang saya bawa pulang boleh dijual, sebaliknya kira-kira 15 hingga 20 peratus tidak boleh diguna sama ada rosak atau bersaiz terlalu kecil,” katanya.

Zahari turut mengupah enam penduduk kampung untuk memi­lih serta mengasingkan periuk kera mengikut saiz iaitu kecil, sederhana dan besar mengikut kehendak pelanggan.

Selain membekalkan periuk kera, dia juga terpaksa 'mencuri' masa untuk memenuhi permintaan terhadap ayam dan daging salai yang sudah diusahakannya sejak hampir 10 tahun lalu.

“Walaupun semakin sibuk selepas bersara berbanding sebe­lumnya dahulu, namun saya gembira serta bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik selain sentiasa mendapat sokongan dan bantuan isteri, Haliza Abdul Latif, 54, walaupun dia sibuk dengan tugas sebagai guru tadika Kemas.

“Sekurang-kurang kami berdua tidak berasa sunyi dan ada sesuatu yang boleh mendatangkan faedah untuk dilakukan selepas ketiga - tiga anak kami tidak lagi tinggal bersama-sama selepas berkahwin dan mendapat kerja di luar daerah,” katanya.