Kejayaan tersebut mem­bo­leh­kan penuntut daripada Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur Awam yang dianggotai Abdul Karim Yassin, 22, Elvina Santoso, 22, dan M. Anas Asshidiqqi, 20, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan trofi.

Rekaan model jambatan yang diinspirasikan daripada sebuah jambatan di Surabaya yang dipanggil ‘Gunung Sari’ turut membolehkan kumpulan tersebut memenangi kategori kekuatan dan keringanan struktur rekaan dengan menerima wang tunai RM1,000 dan trofi.

Menurut Abdul Karim, mereka amat berpuas hati dengan kemenangan tersebut setelah bekerja keras sejak November tahun lalu menghasilkan rekaan yang ditambah baik melibatkan beberapa ciri keselamatan serta reka bentuk.

“Struktur rekaan model jambatan dari sudut sisi kelihatan seperti bentuk ikan jerung yang bermaksud ‘Suro’ dalam bahasa Indonesia, manakala dari pandangan atas nampak seper­ti susuk buaya atau dipanggil ‘Boyo’. Ini adalah keunikan model jambatan yang kami hasilkan.

“Kemenangan ini amat manis bagi kami kerana ini merupakan pertama kali menyertai pertandingan seperti ini. Segala usaha keras kami nyata membuahkan hasil setelah tiga kali gagal menghasilkan rekaan jambatan yang menarik,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Bagi kategori sekolah mene­ngah, pertandingan UTMBridge kali ke-10 itu dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakong, Miri, Sarawak yang menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan trofi.

Menurut guru pengiring, Mohd. Azuwan Samsulazli, rekaan model Jambatan Sempalang yang mengambil konsep rekaan rumah panjang kaum Iban memberi tuah bagi pelajarnya.