Ketua Polis negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, kehadiran pegawai dan anggota MIB sejak dua bulan lalu telah memberi impak positif khususnya dalam tugasan mencegah jenayah.

Beliau berkata, kira-kira 1,000 anggota JSJ negeri berpakaian MIB kini ditugaskan secara bergilir-gilir di seluruh negeri ini.

“Kehadiran pasukan MIB di lokasi tumpuan orang ramai se­per­ti di kompleks membeli-belah ini ternyata mempunyai impak positif apabila kadar jenayah dapat dikurangkan sebanyak enam peratus bagi tempoh enam bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kita akan meneruskan pe­nempatan pasukan ini kerana keberkesanannya memang ada dan memang menjadi tanggungjawab kita untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan,” katanya selepas mengadakan program High Profile Policing (HPP) di pusat beli-belah City Square dan Komtar JBCC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Penugasan kawalan kesela­ma­tan pasukan itu bertumpu di pintu keluar masuk negara, terminal feri, jeti dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, selain mencegah aktiviti kumpulan pengganas Daesh.

Wan Ahmad Najmuddin ber­kata, kehadiran pasukan itu di lokasi tumpuan orang ramai juga mendapat maklum balas positif daripada masyarakat dan pengusaha perniagaan yang menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh polis negeri ini.