Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, inisiatif tersebut adalah dengan memperluaskan kawasan tanaman nanas, penyediaan modal awal dan ge­ran, penyelidikan bagi menghasilkan benih lebih baik dan variati, pengeluaran produk hiliran serta pelaksanaan program bagi me­ningkatkan kesedaran pengguna.

“Menerusi lima inisiatif baharu ini, dijangkakan pengeluaran nanas akan meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun depan iaitu mencapai sebanyak 437,930 metrik tan dengan nilai penge­luaran RM636 juta.

“Impak pelaksanaan inisia­tif tersebut, pasaran nanas semasa akan tumbuh sebanyak 45 peratus dengan nilai anggaran eksport RM200 juta pada tahun depan,” katanya selepas merasmikan Fies­ta Nanas 60 sempena Sambutan 60 Tahun LPNM di si­ni hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali serta Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian dan Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Ismail Mohamed.

Ahmad Shabery berkata, menerusi insiatif itu juga, kemente­riannya berharap akan dapat meningkatkan produktiviti pe­tani khususnya menerusi penanaman nanas variati MD2 yang mendapat pasaran yang baik dari China.

“Kita mensasarkan mampu me­­­nampung permintaan 20 kon­tena seminggu untuk di eksport ke China. Buat masa ini, hanya lapan kontena saja dapat dibekalkan ke negara ber­kenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, negara pada masa ini mengimport 100 juta kelapa bagi menampung permintaan pasaran tempatan dan dijangka meningkat pada masa depan.

Katanya, LPNM kini menggalas cabaran baharu dalam pengelua­ran kelapa dan lembaga itu sedang mengenal pasti variati kelapa yang sesuai untuk dikembangkan tanamannya mulai tahun depan.