Keseronokan dan keterujaan itu dapat dirasakan mereka yang menyertai Program Menyusur Sungai Johor sejauh 70 kilometer anjuran Panz [email protected] dengan kerjasama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) baru-baru ini.

Menerusi program pertama itu dan akan dijadikan produk pelancongan selepas ini, peserta dibawa ke kawasan menarik dan bersejarah sepanjang menyusur sungai tersebut.

Bermula di Jeti Tun Sri Lanang hingga ke Kampung Johor Lama, peserta dapat melihat dan menjejaki sendiri kesan sejarah pemerintahan Kesultanan Me­layu Johor satu ketika dahulu.

Lebih menarik, perkongsian ilmu menerusi program tersebut berjaya membuka minda peserta mendapat pengetahuan yang bermanfaat selain meneroka khazanah alam dengan menaiki bot.

Selain kesan sejarah yang dapat dilihat di Kampung Kelantan, Kampung Makam, Batu Sawar, Kota Panchor di pesisir sungai, peserta berpeluang melihat tugu British lama yang dibina sepanjang Sungai Johor sebagai kubu pertahanan satu ketika dahulu.

Aktiviti menyusur sungai semakin menarik apabila peserta meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki meredah Kampung Panchor yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah Johor.

Sebelum pusat pemerintahan kerajaan Johor berpindah ke Tanjung Puteri yang dikenali sebagai Johor Bahru sekarang, Kampung Panchor merupakan ibu negeri Johor terakhir hingga tahun 1866.

Jadi, pengunjung bertuah kerana dapat menjejakkan kaki di situ.

Peserta tidak akan terbayang, kawasan berkenaan amat bersejarah dan kini kampung tersebut hanya sebuah perkampungan nelayan kecil.

Antara peninggalan sejarah yang terdapat di kampung itu seperti sauh Acheh di tepi sungai, Makam Sultan Abdul Jalil di kaki bukit, Kubu Kota dan makam Raja Puteh di puncak bukit.

Selepas itu pengunjung di­bawa melihat projek industri kecil dan sederhana (IKS) dibangunkan penduduk kampung sebelum kembali menyusur sungai menuju ke Kampung Johor La­ma.

Ketibaan peserta di kampung itu disambut dengan persembahan silat dan iringan kuda kepang sebagai tanda alu-aluan kedatangan mereka.

Apa yang lebih menarik, peserta dihidangan air sakar iaitu air manisan warisan sejak zaman kesultanan dahulu yang diberikan kepada tetamu.