Sambil menghirup kopi atau teh panas nyata menjelmakan kunjungan ke Berjaya Resort di Pulau Tioman lebih menarik dan memberi kenangan indah.

Walaupun terletak di daerah Rompin, Pahang, namun Pulau Tioman tetap boleh dianggapkan sebagai 'naungan' Johor kerana terletak tidak jauh dari daerah ini, iaitu hanya mengambil masa kira-kira dua jam menggunakan bot ekspres dari Jeti Mersing.

Bagi yang pertama kali me­njengah ke pulau antara yang tercantik di negara ini, perjalanan pasti mengujakan kerana boleh menyaksikan gugusan pulau-pulau kecil di perairan berkenaan dan sebaik tiba di jeti, sapaan mesra 'orang pulau' termasuk pekerja di Berjaya Resort yang sedia menanti pasti menambah keterujaan.

Penginapan di Berjaya Resort yang mempunyai lebih 200 bilik pelbagai kategori dengan kadar yang amat berpatutan, iaitu se­rendah RM200 bagi satu malam memang berbaloi.

Walaupun terdapat hotel dan inap desa atau 'homestay' yang disediakan penduduk kampung, namun Berjaya Resort pilihan tepat ketika kunjungan ke sini kerana turut menawarkan pelbagai pakej menarik khususnya bagi penggemar aktiviti marin seperti selaman skuba dan snorkeling kerana boleh menempah pakej yang disediakan bagi me­neroka 'perut' Pulau Renggis yang terletak berhampiran.

Begitu juga bagi yang menggemari cabaran alam semula jadi, jungle walk turut disediakan dengan ditemani oleh pemandu pelancong yang arif tentang kawasan tersebut sambil mencari 'kha­zanah' popular, iaitu beberapa spesies sesumpah.

Penggemar golf turut boleh menguji 'kehebatan' diri bermain di dua lapangan berbeza, iaitu di tepian pantai dan kawasan hutan berbukit, manakala penggemar aktiviti lasak juga boleh mencabar diri dengan menunggang All Terrain Vehicle (ATV) di la­luan semak belukar, berbukit dan kawasan pantai.

Sambil berehat menikmati hidang makan malam, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan cilik yang amat berbakat dalam seni tari.

Nyata, kunjungan ke Pulau Tioman amat berbaloi dan mampu memberikan pengalaman menarik dan indah.