Mereka mendakwa lori-lori yang membawa muatan bahan binaan termasuk tanah dan pasir yang menggunakan laluan utama di taman tersebut menjadi punca kepada masalah berkenaan.

Seorang penduduk, Jusof Mohamad, 67 berkata, kesan keretakan boleh dilihat di bahagian dapur rumahnya yang semakin serius dan memerlukan tindakan pembaikan segera bagi mengelakkan keroskan lebih teruk.

Katanya, kemungkinan keretakan disebabkan berlakunya gegaran daripada kerja-kerja jentera yang digunakan di tapak pembinaan yang kedudukannya tidak berapa jauh dari kediamannya.

“Kami berharap masalah ini diberikan perhatian oleh pihak pemaju dan juga campur tangan kerajaan sekiranya pemaju enggan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Te Lai Chuan, 56, mendakwa dinding di ruang tamu, tandas dan dapur turut mengalami keretakan selain menyebabkan keluarganya tidak tidur lena pada waktu malam.

Katanya, kedudukan rumah­nya yang kurang 10 meter dari tapak projek tersebut memberikan kesan kepada kehidupan seharian penduduk yang mula mendiami taman itu sejak 15 tahun lalu.

“Tidak wajar kami yang mene­rima akibat daripada projek perumahan mewah bagi memenuhi permintaan pembeli tetapi penduduk taman ini yang menderita,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk taman berkenaan, Lim Ah Heng berkata, sebelum ini ada perbincangan dengan pihak pemaju bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya, pemaju perlu segera tampil menyelesaikan masalah itu agar penduduk tidak terus dilanda kebimbangan dan dapat hidup dengan selesa seperti sebelum ini.

Perjumpaan tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman yang menerima memorandum daripada jawatankuasa penduduk tersebut.