Penemuan tersebut mengejutkan mereka dalam keadaan pencemaran Sungai Kim Kim masih belum dipulihkan sepenuhnya, kini berlaku pula pencemaran baharu dalam masa yang singkat.

Penduduk terutama di Taman Kota Masai mendakwa, bau busuk dapat dihidu pada malam semalam dan pagi ini terutama dalam keada­an cuaca panas dan berangin.

Tinjauan Utusan Malaysia di pekan Taman Kota Masai mendapati, ramai penjaja kecil tidak meniaga dan penduduk mengehadkan pergerakan malah ada yang berpindah sementara.

Sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak berkuasa di beberapa jalan masuk utama ke pekan tersebut dipercayai sedang mengesan dalang yang melakukan pembuangan terbaharu itu.

Persoalan dalam kalangan penduduk timbul apabila mereka mula tertanya-tanya keadaan dan kualiti udara di kawasan itu yang dikate­gorikan zon merah sebelum ini adakah masih selamat?

Norizan Abd. Rashid, 55, dari taman tersebut mengakui bimbang dengan situasi terbaharu itu tetapi tidak berpindah kerana tiada kediaman sementara untuk dituju bersama anaknya.

"Kami yang masih tinggal berharap usaha segera dilakukan bagi memulihkan keadaan. Keada­an di sini bertukar sunyi sepi dan seperti 'pekan mati'," katanya ketika ditemui di sini.

Belum reda dengan penemuan itu, petang semalam beberapa tong juga dipercayai berisi sisa bahan toksik ditemukan dalam semak berhampiran Taman Tanjung Puteri Resort di sini.

Aina Afiqah Imran, 16, juga dari taman yang sama, tertanya-tanya adakah pencemaran terbaharu sudah berlaku dan dia sekeluarga kini menghadkan aktiviti di luar rumah.