Namun, kini persepsi itu telah berubah dengan kewujudan sebuah kampung setinggan contoh yang menjadi tarikan utama para pengunjung dan pelancong ke bandar raya ini.

Kampung yang dimaksudkan ialah Setinggan Sepakat terletak di Kampung Melayu Majidee, di sini yang memiliki taman unik dikenali Taman Pesisiran Herba Anak Su­ngai Sebulung sepanjang 800 meter yang disulam dengan tanaman kira-kira 20 jenis herba.

Antara herba yang menghiasi tebingan sungai bersih dan indah itu ialah tongkat ali, pecah kaca, serai wangi, mahkota dewa, belalai gajah, rerama, lengkuas, cekur, misai kucing, senduduk putih, cili api serta pokok buah-buahan seperti manggis, pisang dan nangka.

Kini Setinggan Sepakat menjadi kebanggaan penduduknya yang bersatu hati, menjadikan kawasan tempat tinggal mereka sebuah taman indah yang dihasilkan secara bergotong-royong dan berkat semangat setia kawan.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 14, Mohd. Isa Ahmad, 55, berkata, kewujudan taman herba itu adalah hasil cetusan idea pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menjalankan kempen 'Cintai Sungai Kita' pada tahun 2005.

Kemudian pihaknya mengambil langkah proaktif dan menyahut cabaran tersebut dengan mem­bersih­kan pekarangan rumah termasuk parit yang terletak di belakang rumah masing-masing.

Beliau mengakui, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk membersihkan dan mengindahkan parit yang dinaik taraf menjadi anak sungai.

“Mula-mula kami cuba ubah mentaliti para penduduk dengan memberi penerangan tentang program 'Cintai Sungai Kita' dan kebaikan serta kesannya kepada mereka.

“Kami tanam nilai-nilai murni seperti bergotong-royong untuk membersihkan persekitaran rumah dan sepanjang sungai dengan meletakkan efektif mikrorganisma,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selepas itu, setiap 200 keluarga yang merangkumi kira-kira 1,000 penduduk secara sukarela mencari atau membeli benih herba untuk ditanam di sepanjang sungai itu.

“Apa yang mengagumkan adalah semangat kesepakatan, kesetiaan dan tolong-menolong yang tinggi. Semua penduduk begitu prihatin dengan membantu membersih atau memperbaiki rumah-rumah warga emas atau mereka yang uzur.

“Menjadi kebanggaan kami sebagai warga Setinggan Sepakat apabila para penduduk di sini menjadikan bahagian belakang rumah yang menghadap anak sungai sebagai tempat berehat pada waktu petang atau malam yang disinari lampu,” katanya.

Berbanding 13 tahun lalu, kini keadaan belakang rumah penduduk kelihatan bersih dan indah. Mereka tidak lagi membuang sampah-sarap ke dalam parit tersebut.

Bagi menjayakan projek yang dibahagikan kepada dua fasa itu, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM2.4 juta daripada MBJB dan kerja-kerja membersih dan penyelenggaraan sungai dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Mohd. Isa memberitahu, projek itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Parlimen Johor Bahru, Ahli Majlis Zon Kampung Melayu Majidee, Saadiah Hussin dan Ketua Kampung, Ariffin Abdul Hamid.

Katanya, turut membanggakan warga kampung tersebut apabila taman berkenaan turut dikunjungi oleh PBT dari seluruh negeri dan agensi serta jabatan berkaitan yang ingin menjadikannya contoh untuk dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Selain itu, taman tersebut turut menerima kunjungan para penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta pelajar yang berhasrat untuk membuat kajian dan rujukan bagi melengkap­kan tugasan mereka.

Lebih membanggakan, hasil herba tersebut tidak dijual sebaliknya diberikan secara percuma kepada para pengunjung dan penduduk setempat.