Kerisauan mereka hilang apabila mendapat tahu perkembangan toksik sudah beransur-ansur pulih namun mahukan kepastian sama ada keadaan udara benar-benar kembali seperti asal.

Bagi penduduk terutama di Kampung Pasir Gudang Baru, pencemaran bukan satu perkara baharu terutama di Sungai Masai yang airnya berwarna gelap dan kadang-kala berbau busuk.

Nurul Suhadah Abdullah, 32, berkata, sebelum ini menyangkakan pencemaran sungai itu adalah disebabkan sisa kumbahan dan tidak pernah terfikir bahan toksik yang dibuang.

“Saya ikut suami duduk sini dah 10 tahun, tetapi dalam tempoh itu memang keadaan sungai di sini sudah teruk, tetapi sejak kebelakangan ini lebih ketara.

“Ditambah dengan pembuangan tong di sungai ini, memang kita rasa tidak selamatlah sebab tidak tahu apa dalamnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahad lalu tular dalam media sosial berkenaan penemuan tong-tong di Sungai Masai Utama dipercayai mengandungi bahan buangan toksik dan dibuang baru-baru ini.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam satu kenyataan malam semalam mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) menyiasat kejadian tersebut dengan segera.

Belum reda dengan penemuan itu, petang kelmarin beberapa tong juga dipercayai berisi sisa buangan bahan toksik ditemukan dalam semak berhampiran Taman Tanjung Puteri Resort di sini.

Seorang nelayan, Taha Mokmen, 79, berkata, keadaan sungai yang begitu teruk dalam tempoh beberapa tahun ini memaksa nelayan keluar dari kawasan sungai untuk mendapatkan hasil laut yang lebih lumayan.

“Saya turun ke laut sejak tahun 1968, memang jauh bezanya dulu dengan sekarang. Pencemaran itu memang ada tetapi tidak sangka pula melibatkan bahan kimia macam ini.

KERJA-KERJA pembersihan sedang dilakukan bagi membersihkan sisa toksik di Sungai Masai, Taman Rintin

KERJA-KERJA pembersihan sedang dilakukan bagi membersihkan sisa toksik di Sungai Masai, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor, tengah hari tadi. - UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

“Kita tahu yang sebelum ini berpunca daripada sisa kumbahan tetapi bila ada bahan kimia macam ini, risau juga. Patut ikan semua tidak naik,” katanya. - UTUSAN ONLINE