Pengerusi Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, kedua-dua PDK tersebut ditutup bagi memastikan keselamatan pelatih lain dan tenaga pengajarnya.

“Untuk makluman, dua pelatih dari pusat PDK Kota Masai yang berumur 5 tahun dan 21 tahun iaitu mempunyai masalah pembelajaran telah menunjukkan simptom-simptom selesema dan muntah-muntah.

“Tindakan segera yang diambil oleh cikgu-cikgu adalah membersihkan dan memandikan dua orang pelatih tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita.

Jelasnya yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, mereka dihantar ke hospital serta klinik swasta dan kini berada dalam keadaan selamat.

“Justeru itu, PDK Kota Masai dan PDK Ulu Tiram yang terletak dalam radius kawasan pencemaran tersebut diarahkan tutup buat sementara sehingga situasi memulih seperti biasa,” katanya.

Bencana alam sekitar itu turut memaksa 111 buah sekolah rendah dan menengah selain 92 tadika dan taska ditutup di daerah ini untuk keselamatan para pelajar sekali gus sebagai langkah mencegah peningkatan pesakit. - UTUSAN ONLINE