Panas terik dan hujan lebat sanggup diredahi wanita cekal itu pada awal pembabitannya dalam bidang perniagaan selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, Rabiah yang kini berusia 43 tahun pernah kerugian sebanyak RM20,000 selepas pe­langgannya yang terdiri daripada pekerja kilang tidak membayar hutang setelah tempat kerja mereka ditutup.

“Memang saya minat berniaga sejak remaja lagi dan pernah menjual kain pasang dari rumah ke rumah dan kawasan kilang selain bekerja di beberapa buah butik di Kedah dan Pulau Pinang selepas menamatkan SPM.

“Banyak kenangan pahit dan manis pada awal pembabitan saya dalam alam perniagaan, namun itu semua menjadi pengalaman berharga untuk terus berjaya dalam bidang ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Butik RN Collection di Johor Bahru Angsana Mall, di sini baru-baru ini.

Rabiah berkata, butik tersebut yang diuruskan oleh sepupunya, Nilam Shalwani Abdul Hamid, 39, yang juga rakan kongsi perniagaannya itu mula dibuka pada tahun 2000.

Dia pernah membuka kedai di Teluk Danga, tetapi hanya bertahan selama setahun sebelum berpindah ke pusat beli-belah tersebut.

Ujarnya, butiknya menjual pelbagai jenis pakaian wanita, antaranya baju kurung moden, kurung tradisional, kurung Pahang, kurung kekek, pesak gantung tradisional, jubah serta kebaya moden dan tradisional.

Katanya, butik itu turut menjual baju Melayu cekak musang dan teluk belanga, baju batik dan samping Terengganu.

Bagi mereka yang bergelar raja sehari, butik berkenaan yang terletak di tingkat tiga kompleks beli-belah itu turut menyediakan baju nikah bagi pasangan mempelai.

“Butik kami amat menitikbe­ratkan aspek kualiti kain dan kebanyakan fabrik yang digunakan untuk membuat baju dibeli di Korea, Thailand, Pakistan dan India.

“Malah, kami juga mempunyai tiga tukang jahit profesional yang telah lama bekerja dan mereka arif apa yang pelanggan kami suka termasuk rekaan-rekaan terkini dalam pasaran,” katanya.

Justeru, tidak hairan meskipun telah 17 tahun bertapak dalam bidang perniagaan, butik itu tetap menjadi pilihan pelanggan termasuk dari Singapura biarpun berdepan dengan persaingan baharu dan ketidaktentuan ekonomi.

Bagi mengembangkan lagi perniagaannya, Rabiah turut membuka cawangan di pusat beli-belah Kipmart, Tampoi pada 2004 dan @mart dekat Kempas di sini pada 2011 yang turut menjual pakaian harian.

Ditanya perancangan masa depannya Rabiah berkata, dia berhasrat untuk membuka lebih ba­nyak cawangan butiknya di seluruh negara.