Namun, kuih itu kini bukan sahaja kian dilupakan, malah tidak dikenali oleh generasi muda berikutan proses permodenan.

Justeru, dengan tekad untuk terus menjaga ‘warisan’ ber­kenaan, seorang usahawan, Nirwana A. Rahman, 52, mengusahakan kuih koci secara komersial dengan mengekalkan resipi asal, namun pada waktu sama me­lakukan inovasi dalam aspek pembungkusan bagi menarik pelanggan.

Mula diusahakan secara kecil-kecilan sejak 20 tahun lalu, wanita gigih ini mengakui resipi yang digunakan diperoleh secara turun-temurun yang diwarisi da­ripada moyangnya.

Menurutnya, antara bahan utama untuk membuat kuih koci ialah tepung pulut hitam dan inti kelapa yang diadun dengan pati santan sebelum dibungkus menggunakan daun pisang.

Dengan dibantu oleh suami­nya, Ramli Musa, mereka kini mampu membuat antara 1,000 hingga 1,500 biji kuih koci sehari untuk dipasarkan ke bazar, syarikat katering, hotel terpilih, restoran dan individu.

Bagaimanapun Nirwana mem­­beritahu, biasanya jumlah itu me­ningkat sehingga 3,000 biji sehari pada musim perayaan dan cuti sekolah.

“Bagi menghasilkan 1,500 bi­ji kuih koci, saya memerlukan masa kira-kira tiga jam dengan dibantu anak, Nur Lyana, 27.

“Antara cabaran utama bagi menghasilkan kuih tersebut ialah masalah untuk mendapatkan daun pisang berkualiti, terutama apabila musim panas. Namun, perkara itu kita dapat atasi de­ngan mencari beberapa pembekal daun pisang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Diusahakan di rumahnya di Bandar Baru Uda di sini, ibu kepada tiga anak ini menawarkan tempahan serendah 50 biji yang dijual pada harga RM20 dan 100 biji untuk RM40.

Selain itu, Nirwana dan suaminya turut mempelbagaikan produk keluaran mereka dengan mengusahakan lima jenis karipap pusar, pau goreng, samosa, getuk ubi dan gendang kasturi.

Menurutnya, bagi memastikan proses membuat kuih-muih tersebut berjalan lancar, mereka mempunyai mesin pengadun, penggelek dan pemotong makanan.

Bagi orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubunginya mene­rusi talian 016-7891147.