Pengusahanya, Hawa Atan, 46, berkata, itu antara impak positif yang dapat diperhatikan selepas mereka melakukan transformasi menyeluruh terhadap kantin sekolah itu sejak tahun 2014.

Dia yang mula menjadi pengusaha kantin di sekolah itu pada 2009 mengakui sering menukar perhiasan di kantin tersebut mengikut tema.

“Pada 2014, saya terfikir untuk menggunakan palet sebagai perabot. Bermula dengan idea itulah saya menjadikan kantin sekolah ini sebagai sebuah kantin hipster.

“Mujurlah idea tersebut mendapat sokongan daripada pihak sekolah dan apabila siap ditransformasikan, tidak sangka pula kantin ini menjadi tular dalam laman sosial,” katanya yang mula menceburi bidang tersebut pada 2006.

Kantin Hipster SMK Pasir Gudang atau dikenali sebagai Kafe Selera Puteri Impian sekali lagi menjadi tular dalam laman sosial kerana hiasannya tidak menampakkan seperti kantin sekolah biasa di negara ini.

Hawa mengakui setelah penampilan kantin tersebut ditukar, dia dapat melihat perubahan dalam kalangan sikap pelajar ketika berurusan.

“Pelajar semakin bertanggungjawab dengan mengambil berat tentang kebersihan dan menunjukkan perasaan sayang terhadap kantin ini. Saya amat menghargai perkara tersebut,” katanya yang bertekad akan te­rus melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang pelajar, Lily Humairah Abu Bakar, 17, turut berbangga dengan keadaan kantin yang cantik dan bersih.

“Sebagai pelajar, saya rasa bangga dengan kantin ini kerana kami kerap mendapat kunjungan pihak luar dari seluruh negara.

“Harapan saya semoga semua pihak sentiasa menguta­makan kebersihan dan mengamalkan sikap yang baik ketika mengunjungi kantin ini,” katanya.