Berkat ketekunan, kerajinan serta kesabaran menghadapi liku-liku kehidupan, Asyraaf Mohd. Hafifi, 21, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru dianugerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej Kemahiran Johor (KKJ) pada Konvokesyen ke-21 Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ), di sini.

Beliau menerima piala pusi­ngan, cek bernilai RM1,000, pia­la iringan dan sijil penyertaan yang disampai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Anak kedua daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup Mohd. Hafifi Mohd. Salleh, seorang pemandu lori dan Shamsiah Abdul Rahman ini bertekad menyambung pengajian dan menyertai KKJ pada tahun 2016 bagi mengikuti kursus yang amat diminatinya, iaitu Sijil Penye­diaan dan Pembuatan Makanan.

Di KKJ, bakat Asyraaf dalam bidang kulinari begitu terserlah apabila sering terpilih mewaki­li kolej dalam beberapa kejohanan masakan, antaranya IKIP ASEAN Culinary Challenge pada 2017 dan berjaya meraih pingat perak.

“Saya juga berjaya meraih pingat gangsa dua tahun berturut-turut dalam pertandingan kulinari sempena Ekspo Halal Pulau Pinang pada 2017 dan 2018 menerusi kategori 'Malay Cuisine' dan laksa Johor.

“Sebelum menyertai kursus ini saya terlebih dahulu mengikuti kursus dalam bidang elek­trik di Kolej Komuniti Kuala Langat, tetapi saya mengambil keputusan untuk berhenti untuk menyambung pengajian di KKJ,” katanya.