Pengarah Cosmic Master Development Sdn. Bhd., Chok Kim Sin berkata, projek tersebut tidak dapat disiapkan pada 2013 seperti yang dijadualkan berikutan beberapa faktor termasuk masalah teknikal dan perpaipan.

“Projek ini daripada segi fizikalnya sudah siap 92 hingga 95 peratus manakala daripada segi infrastrukturnya sudah siap 86 peratus. Kita memerlukan lebih kurang RM5 juta untuk menyiapkan sepenuhnya projek berkenaan sebelum 31 Ogos ini.

“Kita telah meminta bantuan Syarikat Air Johor Holding Sdn. Bhd. (SAJH) untuk membantu menyiapkan masalah sambu­ngan perpaipan ini selain meminta bantuan teknikal pihak bomba dan penyelamat, pihak berkuasa tempatan bagi memastikan projek ini melepasi piawaian Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC),” katanya selepas meninjau tapak projek berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Ketua Bahagian Pengurusan Projek Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Amiruddin Shah Hezan Shah.

Akhbar baru-baru ini mela­porkan hampir 1,000 pembeli rumah pangsapuri di Taman Seri Molek Perdana, Plentong kecewa dengan sikap pemaju yang masih gagal menyiapkan projek tersebut biarpun sebelum ini memberikan pelbagai 'janji manis’.

Projek itu yang dikendalikan SPNB mula dibina pada tahun 2010 dan dijadual siap pada Mei 2013, namun kemudian dijual kepada Cosmic Master Development pada 2015.

Kim Sin berkata, projek di tapak keluasan 8.5 hektar tersebut mempunyai 972 unit pangsapuri yang meliputi enam blok yang dijual dengan harga antara RM50,000 dan RM250,000 sebuah.

“Hingga kini, terdapat 250 unit yang masih belum terjual. Selama ini kita telah menjalankan pembinaan berdasarkan hasil jualan projek ini selain mengeluarkan modal syarikat sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Normala berkata, pembeli dan pemaju akan me­ngadakan beberapa pertemuan bagi memantau perkembangan projek dan memastikannya berjalan dengan lancar.