Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim me­min­ta masyarakat terutamanya ibu bapa mengikis tanggapan bahawa sekolah agama sebagai pendidikan kelas kedua berbanding sekolah kebangsaan dan menengah.

“Sekolah agama yang terdapat di negeri ini merupakan tempat terbaik untuk anak-anak menimba ilmu agama dan masyarakat harus mengikis sebarang anggapan yang boleh merendahkan tahap pendidikannya.

“Kecemerlangan dalam akademik juga harus seiring de­ngan penguasaan ilmu agama kerana merupakan jaminan terhadap perilaku serta tindakan yang berlandaskan ajaran agama apabila anak-anak ini dewasa kelak,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah-Sekolah Agama di Parlimen Labis Anjuran UMNO Bahagian Labis di Dewan Majlus Daerah Labis (MDL), di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 158 pelajar daripada 17 sekolah agama di Parlimen Labis yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Darjah Khas, Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) tahun 2016 menerima anugerah masing-masing.

Mohd. Azhar turut menca­dang­kan supaya kerajaan negeri menerusi Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membuat peni­laian terhadap kurikulum dan kitab yang diguna pakai dilakukan secara berjadual sekurang-kurangnya setiap lima tahun sekali.

"Usaha ini bagi memastikan kualiti kurikulum yang digunakan diyakini dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, sekali gus kredibiliti pelajar lulusan sekolah agama sentiasa pada tahap tertinggi," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labis berharap majlis penghargaan seperti itu mampu menjadi motivasi bukan sahaja kepada penerima, malah pelajar lain supaya berusaha lebih gigih dalam mencapai kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi.