Pengerusi Jawatankuasa Perpa­duan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan berkata, individu yang memiliki kemahiran-kemahiran tertentu akan mempunyai lebih peluang dalam menggapai kerjaya impian mereka.

Katanya, peluang pekerjaan yang terhidang di negeri ini khususnya di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang begitu luas, sei­ring de­ngan pembangunan ekonomi yang sedang dialami negeri ini.

“Golongan belia harus mengambil peluang ini dengan melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran sebagai suatu nilai tambah bagi membantu mereka beroleh kerjaya impian.

“Mereka seharusnya tidak bersikap terlalu memilih atau sering bertukar kerja tetapi melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh,” katanya selepas merasmikan karnival Azam Kerja Night Career Fair 2014 Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Pandan City, di sini semalam.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu mengumpulkan kira-kira 50 syarikat yang menawarkan lebih daripada 3,000 kekosongan jawatan pelbagai peringkat.

Tambah Vidyanathan, negeri ini menawarkan banyak peluang pekerjaan dan ia seharusnya direbut oleh setiap individu khususnya para belia yang masih belum mempunyai kerjaya.

“Saban tahun, pasti akan ada peningkatan kekosongan jawatan jadi mereka yang sedang mencari kerja harus mengambil peluang ini bagi mengisi pelbagai kekosongan jawatan yang ditawarkan,” kata­nya.