Justeru Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr. S. Ramakrishnan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melakukan pemantauan bulan depan.

“Walaupun banyak harga barang tidak turun selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), saya harap peniaga tidak mengambil kesempatan menambah beban pengguna dengan menaikkan harga barang selepas pelaksanaan SST nanti.

“Sepatutnya SST tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang secara keterlaluan kerana jumlah barang dan peekhidmatan yang dikenakan SST hanya 6,400 berbanding 11,197 barangan ketika GST dan kita harap cukai baharu ini akan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Azam Kerja Negeri Johor Siri Dua 2018 dan Mini Karnival Kerjaya di Dewan Serbaguna Segamat di sini hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, kerajaan ne­geri melalui Swadaya Insan sudah menambah baik pelaksanaan Azam Kerja yang dilaksanakan sejak 2015 dengan cara meneliti setiap aspek yang perlu diberi perhatian agar dapat memberi manfaat secara lebih menyeluruh.

“Sehingga kini hampir 2,000 peserta Azam Kerja terdiri daripada golongan B40 telah menerima manfaat program ini sejak ianya dimulakan dan itu merupakan satu sebab mengapa kerajaan nege­ri meneruskan program ini.

“Malah program ini akan diperluaskan ke setiap daerah berdasarkan permintaan penduduk setempat dan saya dimaklumkan program ini mendapat sambutan menggalakan sama ada daripada penduduk mahupun pemimpin setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap 98 penerima Bantuan Jana Pendapatan Siri Dua ketika program tersebut dapat memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diterima bagi membolehkan mereka keluar daripada senarai penerima bantuan.

Katanya, kerajaan negeri melalui Unit Swadaya Insan akan sentiasa memantau penerima bantuan dan berharap tiada yang menyalahgunakan bantuan tersebut seperti menjual peralatan yang diterima bagi mendapat keuntungan segera.