Bagaimanapun, beliau berharap projek yang secara segi prinsipnya telah diluluskan Kabinet itu dapat dilaksanakan seperti yang dirancang, iaitu mengambil masa enam tahun dan dijangka siap pada tahun 2024.

Menurutnya, kerajaan komited untuk melaksanakan RTS yang kini berada pada peringkat akhir mendapat kelulusan Kabinet.

“RTS memang kerajaan Persekutuan telah komited teruskan dan kini pada peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan Kabinet dan saya akan bawa kertas memorandum itu dalam masa terdekat, Kabinet secara prinsipnya memang telah luluskan.

“(Pelaksanaan) tak jauh seperti jadual yang dirancang, lewat dua bulan. Selepas PRU beberapa pe­rancangan lewat daripada jadual sebenar, tapi harap dapat laksana seperti biasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksaan RTS.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat sistem 'e-testing', iaitu kaedah penilaian pemanduan dan pembelajaran menggunakan komputer di Ins­titut Memandu Berjaya, Taman Perling, di sini semalam.

Pada 16 Januari tahun ini, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian mengenai RTS dan disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong sempena sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 di Istana Presiden, Singapura.

Apabila siap kelak, RTS mampu menampung pergerakan kira-kira 10,000 pengguna setiap jam antara kedua-dua negara, sekali gus diyakini mampu mengurangkan kesesakan di pintu masuk kedua-dua negara.

Siew Fook berkata, perkara pertama yang akan dilakukan selepas mendapat kelulusan Kabinet adalah menubuhkan sebuah syarikat kerjasama antara Malaysia dan Singapura bagi melancarkan pelaksanaan projek tersebut.

“Lokasi yang dikenal pasti memang di Bukit Chagar, tetapi butiran akhir mengenai projek itu akan diumum selepas mendapat kelulusan Kabinet,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kos sebenar RTS.