Projek pasukan sekolah berke­naan yang dianggotai tujuh pe­lajar, iaitu Heng Yi Peng, Suhailiza Sharif, G.Kartik Raj, Nik Mo­ha­mad Danial Shazwan Musa, Far­han Alwi, Pang Yong Sheng dan Liew Chao Jie memenangi kate­gori Kesihatan Awam sempena Pertandingan Reka Cipta Sains Belia Beijing ke-37 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 Mac lalu dengan menewaskan 33 projek dari 11 negara.

Pengurus pasukan, Latifah Saat berkata, FWF-EM merupakan alat penapis sisa makanan dari sinki yang direka untuk menyelesaikan masalah penjagaan penapis tersebut daripada enapan sisa makanan dan minyak sebelum dibuang ke longkang.

Menurutnya, reka cipta itu dihasilkan dengan gabungan pe­nggunaan kultur EM (Effective Microorganism), iaitu beberapa mik­roorganisma yang berfaedah seperti yis, bakteria lactobacillus sp dan bakteria pengikat nitrogen.

Katanya, projek itu berjaya mengurangkan masalah alam sekitar seperti pencemaran air di samping mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengendali makanan seperti kedai makan, hotel atau restoran tentang kepentingan memelihara alam sekitar.

“Penapis dibina dengan me­nggabungkan tindak balas bio­logi menggunakan mik­roorganisma berfa­edah EM yang boleh menyelesaikan masalah sisa minyak dan makanan.

“EM menguraikan sisa makanan menjadi baja dan meme­cahkan minyak. Penapis FWF-EM telah direka dan dibina daripada bekas persegi plastik dengan beberapa komponen pe­nyekat di dalamnya bertindak se­bagai dinding penghadang bagi me­lambatkan pengaliran air sisa makanan supaya membolehkan rawatan kultur EM bertindak dengan berkesan untuk merawat sisa lemak dan kotoran sebelum dialirkan keluar,” katanya di sini.

Menurutnya, penapis FWF-EM itu telah diuji dan dipasang di sinki di lima tempat berbeza sejak tahun 2011 hingga Februari lalu dan hasilnya menunjukkan tahap kualiti air longkang bertambah baik.