Khairunnisaq, 20, merasa amat bersyukur dapat meraih ke­putusan cemerlang biarpun me­ngalami masalah kesihatan serta kekangan masa untuk mengulang kaji pelajaran.

Bekas pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, Kota Tinggi itu berkata, faktor kesihatan juga mengekang dia da­ripada menghadiri sesi pem­belajaran di sekolah dan sebalik­nya ba­nyak menghabiskan masa di rumah.

“Disebabkan selalu sakit, saya tidak dapat hadir ke sekolah dan pada waktu cuti, saya cuma dapat meluangkan masa dua jam untuk mengulang kaji nota yang dihasilkan. Saya tidak dapat belajar lebih masa kerana keadaan kesihatan memerlukan saya untuk tidur lapan ke 10 jam sehari.

“Memahami keadaan saya, guru banyak membantu dengan menghantar nota ke rumah agar saya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Jadi saya amat berteri­ma kasih dengan usaha mereka hingga berjaya meraih keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui Selepas Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 di Pejabat Pendidikan Negeri, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, guru di­si­p­lin dari SMK Seri Kota Puteri, Suraya Abdul Halim turut mene­rima sijil penghargaan atas sikap prihatin dan sumbangan membantu seorang pelajar dari keluarga yang daif mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Suraya, 38, mengambil Farah Marcella Ban­die, 18, menjadi anak angkat dan tinggal di rumahnya bagi membolehkan pelajar yang sering ponteng sekolah itu untuk belajar secara serius dalam tempoh dua bulan sete­ngah hingga mampu memperoleh 6A, 1B+ dan 1C.

Beliau bertindak demikian mengikut nalurinya sebagai seorang pendidik untuk membantu pelajar yang dilihat ada semangat untuk belajar dan berjaya namun tersekat disebabkan faktor sekeli­lingnya terutama masalah keluarga.

“Melihatkan keadaan Farah dan adik-beradiknya yang tinggal di pusat snuker, membuat saya tersentuh dan terpanggil untuk mem­bantunya dengan tinggal bersama saya. Hasil usaha keras­nya dalam tempoh yang singkat, dia mampu mendapat keputusan yang baik.

“Kita sebagai pendidik bukan sekadar menjadi tenaga pengajar sebaliknya perlu lebih sensitif dan prihatin terhadap anak didik kita serta menganggap mereka seperti anak sendiri dan membantu mereka ke arah kejayaan,” katanya.