Pegawai Daerah Muar, Onn Jabbar menyifatkan, sikap sedemikian tidak sesuai apatah lagi bandar ini sedang berubah menjadi tumpuan pengunjung domestik dan luar untuk bercuti sejak kebelakangan ini.

“Ramai pengusaha sektor perkhidmatan seperti hotel dan restoran mengeluh kerana para pekerja sanggup berhenti jika tidak mendapat cuti panjang pada hari raya, sedangkan inilah masa tenaga mereka diperlukan kerana bilangan pelanggan bertambah.

“Inilah mentaliti orang Melayu yang kena diubah ketika aktiviti pelancongan di bandar ini sedang meningkat, terutamanya pada musim cuti perayaan seperti ini,” katanya pada Majlis Perjumpaan Hari Raya anjuran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) daerah Muar, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau turut diraikan sempena perpindahan ekoran dilantik sebagai Ketua Eksekutif Sukan Malaysia Johor 2020 mulai 1 Julai ini selepas lapan bulan berkhidmat di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Kapten Mohd. Fadzli Jafri.

Dalam pada itu, Onn yang juga Penaung Persatuan Pelancongan Muar (MTA) berharap PVATM turut merebut peluang daripada perubahan tersebut dan menjadikan bangunannya di Jalan Sulaiman, di sini sebagai tapak strategik sebagai tumpuan pelancong.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak ahli PVATM yang mendapat keputusan cemerlangan dalam pelajaran mereka.