Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Ir. Syed Sis Abdul Rahman berkata, pekebun kecil perlu mempelbagaikan jenis tanaman di atas ta­nah pertanian masing-masing.

“Sebagai contoh penanaman pokok buah-buahan seperti durian dan kelapa sebagai tanaman sampingan malah pekebun turut digalakkan menternak ikan atau tiram dalam sangkar.

“Jika dulu pekebun lebih tertumpu kepada tanaman sara diri tetapi sekarang kita kena besarkan jadi tanaman komersial, kita mahu memaksimumkan kegunaan tanah itu,” katanya.

Beliau berucap merasmikan program Gerakan Peningkatan Produktiviti dan Kempen Tanam Semula Risda Daerah Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai di Dewan Terbuka Masjid Al-Zahidin, Kampung Linting di sini semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ghazali Abas, Penolong Pegawai Pertanian Risda Daerah Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai, Salehudin Musa, Ketua Stesen Risda Bandar Penawar, Zulkifly Md. Khalid, Penggerak Masyarakat Risda Kampung Linting, Johana Bidin dan Ketua Kampung Tanjung Surat, Amin Abd. Rahman.

Dalam majlis itu, Syed Sis menyerahkan dana Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) RM51,765 kepada 163 pekebun kecil Kampung Linting, Kampung Nyior dan Kampung Tanjung ­Surat.