Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peranan PBT bukan sekadar menyelenggara jalan, longkang dan kemudahan awam semata -mata, sebaliknya cakupan tugas serta peranannya sudah berkembang dan menjadi lebih besar.

“Ketika ini masyarakat bukan sahaja mengharapkan PBT mengambil tahu masalah dan isu setempat, malah menuntut PBT mampu mencari solusi serta jalan keluar bagi segala isu tersebut.

“Penambahbaikan serta kemajuan hanya akan berlaku sekiranya kecekapan pengurusan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Se­gamat di Dataran Segamat malam semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S Subramaniam; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md. Jais Sarday dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Se­kitar, Pendidikan dan Penera­ngan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Menteri Besar berkata, Johor tidak akan dapat menjadi nege­ri terbaik jika tahap dan kualiti perkhidmatan kerajaan ketiga tersebut tidak berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, PBT mesti mula membudayakan sistem kerja yang pantas dengan meletakkan prestasi dan pencapaian sebagai sasaran penting dalam operasinya.

Katanya, PBT juga harus memanfaatkan kemajuan teknologi dan platform digital untuk menjadi lebih cekap, telus dan berkesan.

“Dengan segala kemudahan yang ada pada hari ini, tiada alasan untuk kita tidak menjadi lebih cekap dan responsif terhadap isu serta permasalahan masyarakat.

“Masyarakat adalah fokus dan keutamaan kita. Justeru, dengarlah rintihan mereka, selesaikan masalah mereka dengan sepenuh perhatian,” katanya.