Timbalan Pengarah Jabatan Pasti Negeri, Mohd. Rofizen Ibrahim berkata, kini terdapat 9,000 kanak-kanak mengikuti kelas Pasti di 200 buah cawa­ngan melibatkan 500 tenaga pe­ngajar.

“Pasti di bawah urus tadbir Dewan Pemuda Pas memberikan penekanan kepada pendekatan pratahfiz dan nuzul Quran yang membolehkan kanak-kanak seawal 4 tahun mempelajari al-Quran.

“Kalangan tenaga pengajar juga mempunyai kelulusan diploma, ijazah atau lain-lain kelayakan yang setaraf bagi membolehkan mereka menjadi pendidik yang baik dan berkesan,” katanya pada Majlis Usrah Perdana dan Nuzul al-Quran Majlis Guru Pasti Negeri Johor (MGPNJ) di Sekolah Menengah Maahad, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­nerangan Pas negeri, Samsudin Jaafar merangkap Yang Dipertua Pas Pontian.

Mohd. Rofizen berkata, pihak­nya yakin kelas-kelas Pasti mendapat kepercayaan ibu bapa bagi mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak sebelum mereka masuk tahun 1 di sekolah rendah.

Katanya, keikhlasan guru-guru memberikan pendidikan kepada kanak-kanak dilihat berjaya menggerakan Pasti sebagai institusi pendidikan seperti mana di sekolah lain.

“Kanak-kanak juga boleh melanjutkan pelajaran mereka ke Sekolah Rendah Intergrasi yang kini mempunyai lapan cawangan di Johor iaitu di Kluang, Ayer Hitam, Sri Gading, Gelang Patah dan Pasir Gudang,” ujarnya.

Dalam pada itu, sempena majlis tersebut, Tabung Kebajikan Pasti Malaysia menyerahkan sumbangan sebanyak RM16,000 kepada MGPNJ.