Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, Mohd. Zafuan Arif Kadim berkata, kerja-kerja pemasangan lampu isyarat di simpang berkenaan yang menelan kos RM300,000 dijangka akan dimulakan pada awal bulan depan.

“Selesai sahaja proses perolehan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dan dijangka mengambil masa selama dua bulan.

“JKR sudah pun menaik taraf laluan di simpang empat Pekan Telok Kerang sebelum ini dan telah mempunyai perancangan mengenainya,” kata beliau ketika ditemui selepas melawat persimpangan tersebut bersama-sama Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr. Md. Farid Md. Rafik, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Suhaizan Kayat.

Sementara itu, Md. Farid berkata, pihaknya memandang serius isu keselamatan di simpang empat berkenaan kerana semakin kerap berlaku kemalangan di situ sejak akhir-ahkir ini, termasuk yang terbaharu malam kelmarin yang mengorbankan ibu dan seorang anaknya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Serkat.

“Jumlah kenderaan yang menggunakan laluan simpang empat Telok Kerang semakin meningkat kerana laluan di sini dapat menghubungkan Pekan Nanas ke Kukup dan Tanjung Bin,” katanya sambil memberitahu semakin ramai mengguanakan laluan itu termasuk pelancong yang menuju ke Kukup Laut dan Tanjung Piai.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya garisan kuning, tanda jalan dan lampu amaran turut dipasang selain lampu isyarat dibina di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Alwi Moin, 65, turut mengakui kemalangan kerap berlaku di simpang empat tersebut, khususnya pada

awal pagi dan malam.

“Sebenarnya sudah lama penduduk minta lampu isyarat dipasang sebab jalan di sini jadi jalan utama. Selain itu, sekolah agama, sekolah rendah dan sekolah menengah juga tidak jauh dari simpang ini,” katanya.