Biarpun serangan itu berakhir dengan Balai Polis Bukit Kepong ditawan dan dibakar, peristiwa 67 tahun lalu itu membuktikan iltizam serta semangat juang semua anggota polis termasuk isteri mereka serta penduduk kampung yang bergabung tenaga mempertahankan balai berkenaan sehingga titisan darah terakhir.

Justeru, penubuhan Galeri Darurat Bukit Kepong di atas bekas tapak balai polis yang di­serang itu sebagai bukti kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai sumbangan serta pengorbanan wira-wira negara yang terbilang ini.

Semangat perjuangan, keberanian dan pengorbanan itulah menjadi initipati galeri berkenaan diwujudkan sebagai wadah untuk mengenang, mengabadi dan meneladani kejadian itu kepada bangsa, agama dan negara tercinta.

Namun, paling utama Galeri Darurat Bukit Kepong itu diwujudkan adalah bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan setiap ahli pasukan polis yang telah berjuang dengan sema­ngat keperwiraan dan keberanian dalam tempoh darurat dari tahun 1948 hingga 1960 dan Insurgensi Kedua 1968-1989.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, galeri berkenaan juga sebagai platform untuk menyelamat, memelihara, menyimpan dan mempamerkan semua artifak tinggalan sejarah khususnya melibatkan era darurat yang bertujuan menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada pelajar dan masyarakat.

“Sebanyak 815 artifak terdiri daripada senjata api dan senjata tajam serta lain-lain artifak termasuk sebuah bot polis marin jenis PA 10 dan dua kereta perisai Commando V100 APC dan Fordlynx Scout Car dipamerkan di situ,” katanya semasa majlis pe­rasmian galeri berkenaan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini.

Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak di Pagoh, kini dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang dan mempunyai tiga bahagian iaitu aras satu berkaitan sejarah polis dan zaman darurat, manakala aras dua mengisahkan tentang zaman darurat kedua dan bahagian ketiga iaitu bangunan lama yang menceritakan sejarah Bukit Kepong.

Bahan dan konsep pameran adalah bersifat akademik bagi memudahkan pelawat mendapatkan maklumat berkaitan peristiwa darurat sejajar dengan hasrat untuk menghargai sumbangan para pahlawan yang telah berjuang menentang pengganas komunis.

Selain artifak, bahan peragaan di galeri itu pula terdiri daripada gambar-gambar, keratan akhbar, replika pejabat pertanyaan, bilik lokap, peralatan kediaman ke­lamin dan bujang serta pelbagai barangan lain.

Menurut Noor Rashid, penubuhan galeri yang menelan kos RM11.5 juta itu juga bertujuan mendidik masyarakat dan ge­nerasi pelapis tentang kepen­tingan mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara serta bersedia mempertahankannya di samping memupuk sikap tole­ransi, persefahaman dan permuafakatan antara semua kaum.

“Kita mahu menjadikan Galeri Darurat Bukit Kepong sebagai gedung ilmu dan pusat sumber serta pusat rujukan yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta masyarakat khususnya yang berkaitan zaman darurat.

“PDRM juga mahu membantu negara dalam industri pelanco­ngan bagi menarik kedatangan orang luar melawat, terutamanya penggemar atau pengkaji sejarah,” katanya.

Beliau berkata, cadangan me­wu­judkan galeri berkenaan telah dimulakan seawal tahun 1999 dengan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan antara pelbagai pihak seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan PDRM, Jabatan Muzium, Jabatan Kerja Raya, Yayasan Warisan Johor (YWJ) serta kerajaan negeri ini.