Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kerajaan negeri akan memantau semua pusat tahfiz di negeri ini dan menutup mana-mana yang ber­operasi tidak mengikut syarat dan peraturan ditetapkan.

Baginda bertitah, sejak akhir-akhir ini terdapat banyak pusat tahfiz swasta diwujudkan dan memohon sumbangan orang ramai untuk beroperasi.

“Kerajaan negeri perlu memantau kesemua pusat tahfiz di negeri ini dan mesti mendapat sijil dan pengiktirafan sebelum memulakan operasi.

“Mana-mana pusat tahfiz yang melanggar syarat, hendaklah ditutup serta-merta,” titah baginda ketika merasmikan majlis Sam­butan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor Darul Ta’zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Berangkat sama ialah tiga puteranya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot.

Titah baginda, kerajaan negeri boleh mewujudkan kelas tahfiz khas di sekolah agama yang terdapat di seluruh negeri sekiranya terdapat permintaan.

“Sekiranya ada permintaan dan keperluan, kerajaan boleh mewujudkan kelas tahfiz khas di setiap sekolah agama untuk pelajar yang ingin mendalami ilmu hafazan al-Quran,” titahnya.

Baginda turut bertitah agar ke­rajaan negeri terus memperkasa dan menambah baik pendidikan agama di negeri ini bagi berhadapan dengan era globalisasi dunia digital pada masa kini.