Namun keadaan itu tidak berlaku. Agenda pembangunan Pa­goh tidak terencat, malah terus berkembang pesat apabila fasa pertama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di kawasan berkeluasan lebih 200 hektar mula beroperasi tahun lalu.

HPTP menjadi pemangkin utama perkembangan daerah ini dan bukan sahaja berdiri megah sebagai ikon, malah menjadi pe­nyumbang proses modenisasi serta pertumbuhan ekonomi dan sosio budaya bagi anak watan Pagoh.

Kira-kira 70,000 penduduk Pagoh mendapat manfaatnya, sekali gus mengubah wajah lua­ran bandarnya. Daripada jumlah itu, 50,000 atau 65 peratus adalah kaum Melayu, manakala 22 peratus Cina, tiga peratus India dan satu peratus kaum-kaum lain.

Majoriti merupakan pekebun kecil dengan sebahagian adalah nelayan yang mendiami 65 kampung, empat kawasan Felcra dan sebuah tanah rancangan Felda selain tinggal di pekan-pekan kecil.

Apabila HPTP beroperasi sepenuhnya nanti bakal menyaksikan pertambahan 20,000 hingga 30,000 penduduk, sekali gus menjadikan kira-kira 100,000 orang bakal menghuni Pagoh.

Bagi melengkapkan HPTP, selain menempatkan lima kampus universiti utamanya, pelbagai prasarana lain sedang dan akan dibangunkan dalam kawasan hab tersebut, antaranya pusat kesihatan, sekolah, balai bomba dan masjid.

Sebuah stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan menjadikan HPTP sebagai transit yang secara langsung akan berlaku ledakan dan limpahan pembangunan dalam skala besar.

Pergolakan politik yang berlaku di Pagoh sebelum ini hanya memberi kesan yang minimum dan apabila sudah ‘reda’, kerajaan Pusat dan negeri akan terus memberikan fokus dalam usaha membangunkan daerah ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, sejak Jun 2016 hingga kini, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM40 juta untuk pembangunan daerah ini melibatkan pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta disalurkan Kerajaan Pusat manakala RM30 juta lagi daripada kerajaan negeri bagi memastikan segala keperluan masyarakat Pa­goh dipenuhi, sekali gus menaik taraf kehidupan mereka menjadi lebih berkualiti.

Ismail yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Pagoh berkata, kesi­nambungan pembangunan akan diteruskan selepas kedudukan BN diperkukuhkan di sini yang merupakan kubu kuat UMNO ke­rana banyak perancangan sedang dan akan dilaksanakan.

Beliau mahu lebih 50,000 pe­ngundi membuat pilihan bijak dengan terus memberikan mandat kepada calon-calon BN di semua kerusi di kawasan tersebu pada Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bukan sahaja kerusi Parlimen Pagoh, malah turut memilih calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Mohd. Noor Taib dan calon BN bagi DUN Bukit Pasir, Datuk Noriah Mahat.