Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, mereka perlu mengubah sikap dan pemikiran, terutamanya yang melibatkan pendidikan dan pembangunan.

Beliau berkata, kini terdapat kira-kira 15,000 Orang Asli di nege­ri ini mendiami beberapa buah perkampungan yang telah me­ngalami perubahan dengan penyediaan infrastruktur bertambah baik seperti jalan raya, perhubungan komunikasi dan kemudahan asas lain.

“Kerajaan negeri sentiasa men­cari jalan bagi membantu Orang Asli menerusi pelbagai aktiviti ekonomi untuk menambah pendapatan mereka termasuk penglibatan dalam sektor agro pelancongan,” katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Orang Asli Peringkat Negeri di Kampung Baru Kuala Benut, dekat sini semalam.

Program anjuran Jabatan Aga­ma Islam Johor (JAIJ) dan Pejabat Daerah Pontian itu turut dihadiri Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor ((MAINJ), Datuk Nooh Gadot; Pegawai Daerah Pontian, On Jabar @ Jaafar; Senator Orang Asli, Isa Abd. Hamid dan Kadi Daerah Pontian, Khalil Mohd. Noor.

Majlis tersebut dimeriahkan de­ngan kehadiran hampir 1,000 masyarakat Orang Asli, antaranya dari Kampung Orang Asli Simpang Arang (Johor Bahru), Kampung Orang Asli Sungai Peroh (Kluang), Kampung Orang Asli Tanah Abang Mersing (Mersing) dan Kampung Orang Asli Pontian Besar (Pontian).

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan semua golo­ngan termasuk Orang Asli bagi menikmati arus pembangunan yang sama.

Justeru, beliau meminta Tok Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli dapat membantu kerajaan me­nyampaikan dasar-dasar pembangunan yang dilakukan ketika ini.