Setiausaha PBT Pengerang, Shamsulbahri Md. Dali berkata, seramai 35 anggota terdiri daripada pasukan vektor dan kontraktor dilantik menyertai operasi itu semalam dengan memberi tumpuan di kawasan tum­puan umum, khususnya yang mempunyai kepadatan warga asing.

“Operasi ini dilakukan ren­tetan daripada 15 aduan diterima daripada orang awam mengenai kehadiran kumpulan anjing liar.

“Masalah kehadiran kumpulan anjing liar ini bukanlah baru, malah sudah ada sekian lama dan apabila PBT Pengerang ditubuhkan, kita terus melakukan operasi,” katanya sambil memberitahu dalam operasi tersebut sebanyak 10 ekor anjing berjaya ditangkap.

Shamsulbahri berkata, PBT Pengerang mengambil serius dan berusaha melaksanakan langkah pencegahan, sekali gus mahu mewujudkan kawasan serta kehidupan masyarakat yang bebas daripada penyakit rabies.

Justeru, beliau meminta pemilik anjing supaya memohon lesen daripada pihaknya dan memastikan haiwan pelihara mereka diberi suntikan bagi menge­lakkan jangkitan penyakit.

Pemilik yang sudah memiliki lesen juga diminta supaya memastikan anjing mereka di­ikat dan tidak berkeliaran bagi mengelakkan daripada dikena kompaun.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa berada di kawasan tum­puan umum dan segera membuat adu­an kepada PBT Pengerang sekiranya terdapat anjing liar yang berkelakuan ganas.

“Aduan segera ini perlu bagi memastikan pihak kita dapat mengambil tindakan pantas,” katanya.