Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pencemaran dipercayai berlaku apabila benteng kolam air larutan serapan (leachate) di Tapak Pelupusan CEP 1 Simpang Renggam pecah akibat hujan lebat.

Menurutnya, setakat ‪pukul 12‬ tengahari hari ini, bacaan air di Sungai Ulu Benut mencatatkan bacaan 16 PPM sehingga menyebabkan LRA Simpang Renggam tidak boleh menjalankan operasi membekalkan air bersih.

“Akibat daripada pencemaran itu, dianggarkan 115,000 pengguna membabitkan 15,000 akaun pengguna di Simpang Renggam dan 8,000 pengguna akaun di Pontian

terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Ranhill SAJ mengerahkan lori tangki air ke kawasan terjejas untuk membekalkan air dan keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah serta hospital yang terlibat.

Pada masa sama, tambahnya, Ranhill SAJ memaklumkan, sebanyak 30 buah lori tangki air dikerahkan bagi tujuan itu.

“Diharapkan supaya pengguna yang terjejas boleh bersabar sedikit dengan keadaan ini dan pejabat saya akan sentiasa memantau bacaan ammonia dan apabila ia turun ke paras dibenarkan iaitu 1.5 PPM, tindakan sewajarnya akan diambil supaya operasi memproses bekalan air bersih dapat dijalankan seperti sediakala.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan supaya Ranhill SAJ sentiasa mengemaskini maklumat terkini dan menyebarkan kepada orang awam terutamanya kepada pengguna yang terjejas,” katanya. - UTUSAN ONLINE