Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., ber­kata, jika sebelum ini agensi terlibat mempunyai pendekatan sendiri terutamanya dalam menangani pengurusan krisis sepanjang Op Selamat dijalankan, namun kali ini pihaknya berkolaborasi dengan 13 agensi serta jabatan yang terlibat supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Jika dahulu setiap agensi serta jabatan mempunyai ge­rak kerja sendiri tapi menerusi konsep yang diperkenalkan ini, sebagai contoh jika ada isu dan bila kita nak selamatkan orang, kita mahu polis datang serentak dengan agensi lain seperti bomba dan lain-lain.

“Kita ada cara berkomunikasi sesama kita yang diwujudkan bagi kelancaran Op Selamat,” katanya selepas melancarkan Op Selamat Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Johor di Plaza Tol Skudai Arah Selatan, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Kamarudin Md. Din.

Mohd. Khalil berkata, pelbagai pendekatan telah dijalankan termasuk sebelum kempen Op Selamat bermula dalam usaha mengurangkan kadar kemala­ngan jalan raya di negeri ini.

“Salah satu pendekatan yang kita buat sebelum Op Selamat lagi adalah mendekatkan pasukan de­ngan brader motor, kita dah buat beberapa program dengan menjalankan aktiviti bersama-sama supaya mereka dekat dengan masyarakat.

“Kita buat program begitu dengan harapan apa jua maklumat yang mereka peroleh daripada kita akan disebarkan kepada rakan-rakan lain kerana motosikal merupakan penyumbang terbesar dalam statistik kemalangan jalan raya,” katanya sambil memberitahu seramai 430 pegawai dan anggota polis negeri ini terlibat dalam Op Selamat pada kali ini.