Kediaman yang mempunyai tiga buah bilik itu memberikan keselesaan kepada isterinya, Haslina Othman, 26, tiga anaknya berusia antara enam hingga 14 tahun, ibu mertua, Rosmah Yusof, 57, dan dua adik iparnya.

“Sebelum ini kami menyewa sebuah rumah yang mempu­nyai dua bilik di Pekan Ayer Baloi de­ngan bayaran RM200 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas me­nerima kunci rumah baharu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi PIJ, Suhaimi Salleh yang juga ADUN Kukup dan Penghulu Mukim Ayer Baloi, Hasrul Ibrahim.

Daud berkata, tapak rumah tersebut diberikan oleh bapa saudaranya, Abd. Rahman Sa­lleh.

“Terima kasih kepada semua sukarelawan daripada Polytech Mara, Batu Pahat dan Kolej Sayong Didik Kulai dan Ihsan Johor Rangers yang bertungkus-lumus menyiapkan rumah ini dalam tempoh tiga hari sahaja” katanya dalam nada terharu.

Sementara itu, Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri berkata, rumah yang dibina dengan kos RM48,000 itu diharap dapat meri­ngankan beban keluarga tersebut yang kini tidak lagi perlu membayar sewa bulanan dan boleh menggunakannya bagi perbelanjaan lain.

“Jika menggunakan kontraktor atau pihak luar, rumah ini mungkin berharga sekali ganda, namun dengan adanya kepakaran sukarelawan, kos pembinaanya telah dapat dijimatkan” katanya.