Bagi penggemar nasi Arab di sini, mereka tidak perlu me­nunggu musim haji atau umrah untuk menikmatinya kerana kini kedai Al-Ashaab Nasi Arab dibuka di Pusat Informasi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian di sini.

Kedai tersebut terletak di Jalan Dato Ali bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian dan beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Pemiliknya Izulkifli Yusof, 43, dibantu Isteri, Asparni Ali, 42, bersama-sama enam pekerja merupakan tulang belakang di sebalik Al-Ashaab Nasi Arab.

Bukan sahaja keenakan nasi Arab menanti, bahkan dekorasi kedai turut dihias dengan konsep Asia Barat. Memasuki kedai itu mempunyai persekitaran seperti di kedai Arab sebenar.

Pelanggan akan duduk bersila beralaskan bantal untuk setiap seorang dan makanan dihidang­kan atas meja bulat pendek termasuk bahagian lantainya dihiasi dengan permaidani.

Hidangan utamanya ialah Nasi Arab Maqlubah yang terke­nal di Jordan dengan mengambil kira kesesuaian selera dan cita rasa penduduk tempatan ter­utama nasi itu tidak terlalu berempah.

“Nasi ini mempunyai rasa yang unik. Kambing atau ayam digoreng sebelum dimasak bersama-sama nasi,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya di sini baru-baru ini.

Mulanya beliau tidak bercita-cita menjadi seorang chef tetapi minat mendorongnya untuk membuka sebuah restoran nasi Arab memandangkan sambutan baik daripada orang ramai.

“Selepas tamat pengajian di Mesir pada 2002, saya bertugas sebagai guru di Pontian, namun minat mendorong saya membuka perniagaan nasi Arab di sebe­lah Masjid Jamek Temenggung Daeng Abdul Rahman di Benut di sini.

“Selepas itu saya membuka sebuah lagi di Eco Merbah Resort sebelum ditawarkan membuka perniagaan di Pusat Informasi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian sejak empat bulan lalu,” ujar bekas penuntut Universiti Al-Azhar Mesir itu.

Beliau memberanikan diri memperkenalkan nasi Arab itu bagi menyahut cabaran bekas Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah untuk memperkenalkan menu itu di bandar ini.

Katanya, Maqlubah yang bermaksud terbalik, sebenarnya adalah hidangan yang siap dimasak diterbalikkan sebelum disajikan dengan salad, sayur-sayuran dan sup.

Minuman pula tambahnya, ialah air karkadih iaitu air rosella diimport dari Mesir selain teh Arab yang mengandungi herba, daun pudina dan pelaga disajikan selepas menikmati nasi Arab.

Kedainya dibuka hingga waktu malam bagi memenuhi permintaan pelanggan yang bekerja siang hari sekali gus memberikan peluang mereka merasai keenakan Nasi Arab Maqlubah.

Menurut beliau, menu nasi Arab itu di bandar ini memberikan pilihan kepada mereka yang berkunjung ke daerah ini yang lebih dikenali dengan masakan asam pedas dan makanan laut.