Pengarah Perikanan negeri, Za­mani Omar berkata, kerajaan bukan sahaja menyalurkan me­nyalurkan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) malah pelbagai insentif lain seperti bantuan peralatan serta minyak bagi me­ringankan beban mereka.

“Di negeri ini terdapat lebih 800 nelayan darat dan 305 daripada mereka merupakan penerima ESHND sebanyak RM200 sebulan melibatkan pembayaran sejumlah RM 732,000 pada tahun 2016.

“Selain itu, pihak kami juga melepaskan benih ikan dan udang di sungai-sungai yang mengalami masalah kekurangan sumber hidupan sungai bagi membantu nelayan darat untuk memperolehi hasil tangkapan yang baik,” katanya.

Beliau berkata kepada pembe­rita selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum dan Penyerahan Bantuan Touch Point Nelayan Darat Daerah Segamat di­rasmikan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Hafiz Ahmad di Jeti Nelayan Kampung Tekam di sini hari ini.

Zamani berkata, bermula Januari hingga Ogos ini, Jabatan Perikanan Negeri Johor sudah melepaskan sebanyak 300,000 benih ikan di Sungai Muar yang melibatkan daerah ini dan Muar.

Menurutnya, ancaman terhadap sumber hidupan sungai bukan sahaja daripada aktivi pe­nangkapan ikan dengan cara yang dilarang seperti meracun, mengunakan arus elektrik dan bom malah tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan ikan bukan asli juga merupakan masalah yang perlu ditangani pi­haknya.

Ujar Zamani lagi, pihaknya juga sudah mengenal pasti 34 spesies ikan bukan asli seperti keli Afrika, lee koh dan talapia yang dila­rang dilepaskan ke sungai kerana mampu menganggu keseimbang­an habitat ikan asli.

“Pelepasan ikan bukan asli akan menganggu keseimbangan biosiversiti habitat ikan asli selain menyumbang pembawaan pe­nyakit baharu yang boleh menjejaskan populasi sumber ikan asli.

“Kesedaran dan pen­didikan awal harus dipupuk kepada orang ramai khususnya di peringkat kanak-kanak bagi memastikan sumber sumber pe­rikanan semu­la jadi dapat di­nikmati generasi akan datang,” katanya.