Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan melihat secara lebih spesifik sektor yang terdapat di daerah itu supaya satu pelan tindakan khas dapat diwujudkan bagi merealisasikan usaha tersebut.

“Saya melihat beberapa sektor di Muar yang boleh menjadikannya sebagai salah sebuah hab pertanian seperti kelapa matag, durian dan tanaman herba.

“Apatah lagi Muar daerah besar yang memang banyak potensi dan tanah-tanah untuk diusahakan bagi tujuan pertanian,” katanya selepas me­lawat Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Shamsudin; Pengarah Perikanan negeri, Zamani Omar dan pemilik Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, Nasuha Kasian.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Simpang Jeram diberi taklimat berkaitan isu, potensi dan hala tuju sektor pertanian di Muar oleh Jabatan Pertanian; Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Beliau turut dibawa melawat Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha berkeluasan 1,295 hektar yang menempatkan kira-kira 6,000 spesies herba dan rempah ratus dari seluruh dunia.

“Misalnya, saya juga sempat melawat institut pertanian di Jorak dan melihat sendiri potensi pembenihan kelapa matag yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat untuk menceburi bidang ini.

“Jadi, saya akan lihat dengan teliti semua potensi ini dan akan wujudkan pendekatan urus tadbir di jabatan berkaitan yang le­bih terurus dan cekap supaya kita dapat bangunkan industri yang sedang mendapat permintaan luar biasa daripada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kementerian ju­ga pada masa sama akan meneliti insentif dan galakan yang berse­suaian kepada pengusaha pertanian untuk bersama-sama memajukan lagi sektor itu.