Jika mahu menyingkap satu persatu lembaran sejarah Muar pasti tidak akan habis, namun ramai sebenarnya tidak menyedari daerah yang semakin berkembang pesat itu memiliki 1,001 kisah sejarah termasuk yang berkait rapat dengan Melaka dan Singapura.

Biarpun tanpa rekod sejarah yang sempurna, Empayar Ke­sulta­nan Melaka dikatakan bermula dan berakhir di Muar, malah mengikut sejarah Melayu, Parameswara yang menggelar dirinya sebagai Raja Iskandar Syah, terlebih dahulu cuba membina penempatan di Kota Biawak Busuk dan Kota Buruk di daerah ini selepas melarikan diri dari Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Temasik.

Muar juga adalah satu-satu­nya tempat yang memiliki makam Kesultanan Melaka, ia­itu Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh selepas makam-makam lain hancur dibinasakan Portugis dan mengikut fakta sejarah, Sultan Mahmud Syah yang merupakan pemerintah terakhir Melaka berundur ke Muar selepas empayar tersebut jatuh ke tangan penjajah pada Ogos 1511.

Kubu Bentayan yang kini menjadi lokasi Terminal Bas Bentayan adalah satu lagi pe­ninggalan sejarah di Muar yang menyaksikan pertempuran pah­lawan Melayu menentang Portugis selain 'Fortaleza De Muar' yang merupakan kubu segi tiga dibina Portugis ketika menangkis serangan Belanda dan Aceh.

Dari segi pengangkutan pula, Pengasas Muar Historia, James Teo Peng Heng berkata, Muar boleh dikatakan telah jauh ke hadapan pada zaman dahulu apabila memiliki perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Bandar Maharani ke Parit Jawa.

Menurutnya, Muar State Railway (MSR) sepanjang 12.5 kilometer beroperasi dari tahun 1889 hingga 1925 itu membawa pelbagai barang dagangan selain memudahkan pergerakan penduduk.

Kata penggemar sejarah yang kini mengendalikan Restoran Muar Historia Rabbit Home ini, daerah Muar yang terletak berse­belahan Tangkak juga boleh digelar sebagai gerbang selamat datang ke Johor kerana jaraknya dari Melaka kurang 50 kilometer melalui jajaran Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin-Pintasan Muar.

“Muar sebenarnya kaya de­ngan khazanah, sejarah, wari­san dan budaya, malah pelbagai jenis makanan tradisional boleh didapati di sini termasuk tempat-tempat menarik yang boleh dilawati pengunjung seperti menyelusuri Sungai Muar, melihat bangunan lama dan pelbagai lagi.

“Bagi segmen kebudayaan, ramai tidak tahu bahawa tarian naga yang pertama kali dimainkan oleh kaum Cina berasal dari daerah ini setelah masyarakat Melayu memperkenalkan tarian itu di Batu Pahat. Malah, ta­rian zapin dan ghazal juga amat sinonim dengan Muar,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengenai restoran berkonsepkan galeri atau muzium sejarah Muar yang diusahakannya, James Teo berkata, Muar Historia Rabbit Home adalah lokasi persinggahan wajib bagi pengunjung luar terutamanya penggemar sejarah.