Muzzafar Abdullah, 48, berkata, isterinya Maisarah Abdullah, 46, yang juga seorang mualaf perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang keseluruhan usus besarnya akibat pe­nyakit familial polypolis coli.

“Memandangkan pembedahan tersebut perlu dilakukan de­ngan segera, ia perlu dilakukan di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor kerana pembedahan di hospital kerajaan perlu menunggu giliran sedangkan keadaan ke­sihatan isteri saya semakin teruk.

“Pendapatan saya sebagai peniaga kedai makan kecil-kecilan juga terjejas selepas tidak dapat berniaga dan terpaksa mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Baitulmal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, isterinya kini hanya terlantar atas katil dan tidak mampu menguruskan diri serta melakukan sebarang kerja rumah selain terpaksa memakai lampin pakai buang di samping bergantung kepada ubat-ubatan hospital.

Katanya, sebelum ini doktor melakukan tiga ujian colons­copy di Hospital Segamat dengan memasukkan kamera melalui mulut dan anggota badan untuk melihat keadaan usus isterinya selain pernah mencuba perubatan homeopati sebelum ini.

Jumlah wang yang diperlukannya agak besar, namun dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu bagi menampung kos pembedahan isterinya dalam waktu yang singkat.

“Sewa rumah dan bil utiliti juga sudah tertunggak beberapa bulan kerana saya tidak boleh keluar berniaga kerana terpaksa menguruskan keperluan isteri serta anak kami yang berusia lapan tahun.

“Setiap bulan saya terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk keperluan ubat-ubatan serta rawatan isteri dan pendapatan saya memang tidak mampu untuk menampung kos berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Muzaffar bernombor 162393798201 atau menghubunginya melalui talian 01112137131.