Pengerusinya, Haslinda Salleh berkata, pihaknya telah memulakan latihan untuk sebahagian daripada wanita di daerah tersebut hasil inisiatif Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong yang berhasrat membantu menambahkan pendapatan penduduk.

“Setakat ini lebih 50 kelas kemahiran telah dianjurkan melibatkan 1,500 peserta dari seluruh Labis sejak tiga bulan lalu dan matlamat kami adalah untuk mewujudkan 60 kelas menjelang akhir tahun ini.

“Antara kemahiran diajar adalah solekan, andaman, masakan Barat dan Melayu, kraftangan, seni jahitan, kek dan pastri serta keterampilan diri yang mendapat kerjasama tenaga pengajar Kemajuan Masyarakat (Kemas),” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, program itu tidak dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja sebaliknya terbuka kepada wanita semua kaum dan golongan muda di Labis tanpa mengira fahaman politik.

“Walaupun kami sedar tidak semua peserta mampu menjadi usahawan, namun sekurang-kurangnya mereka mampu menyediakan keperluan keluarga sendiri sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga.

“Namun melalui pemerhatian saya, terdapat dalam kalangan mereka yang sudah mula mengorak langkah untuk memulakan usaha perniagaan secara kecil-kecilan sama ada bersendirian atau bersama kawan-kawan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Maznah Abdullah, 57, dari Felda Chemplak memberitahu, dia mengambil peluang mengikuti kelas masakan bagi menambah pengetahuan kerana berpendapat ilmu perlu dicari sepanjang hayat.

Pesara guru itu mengakui banyak masa terluang selepas tidak lagi bekerja dan bercadang berkongsi ilmu yang diperolehi daripada kelas kemahiran tersebut dengan rakan-rakan lain yang tidak berpeluang turut sama mengikutinya.

Rakan beliau, Jamilah Dol, 62, berkata, dia tidak pernah berasa segan untuk menyertai kelas masakan itu pada usia emas kerana ia merupakan peluang bertemu sahabat dan mencipta rakan baru selain mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah.

“Pada usia ini tidak banyak aktiviti yang boleh saya lakukan terutamanya berkebun yang menjadi minat saya sebelum ini dan inilah peluang terbaik untuk saya isi masa lapang sambil bergaul serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Saya gembira ada pihak yang menganjurkan program sebegini di mana sekurang-kurangnya mampu mendedahkan pelbagai peluang menambah ilmu dan pendapatan oleh mereka yang mahir dan terlatih,” katanya.