Langkah itu untuk memastikan kawasan persekitaran di bawah pentadbirannya yang memenangi anugerah sebagai Bandar Terbersih ASEAN awal tahun ini kekal bersih.

Yang Dipertua MPM, Mustafa Kamal Samsudin berpendapat, menanamkan rasa cinta kepada kebersihan dan suka mengutip sampah dalam masyarakat lebih berkesan daripada mendenda mereka yang melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata.

“Jika kita mendenda RM250 kepada pesalah kerana membuang puntung rokok merata-rata misalnya, belum tentu tindakan itu dapat menyedarkan pesalah tentang penjagaan kebersihan.

“Sebaliknya, jika berjaya menanamkan perasaan tidak suka pada sampah dan mengutipnya, kita akan dapat menerapkan sikap sayang kepada kebersihan kerana kebersihan menjadi kita sihat,” ujarnya selepas mengetuai 350 ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam program Plogging di kawasan rekreasi Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang di sini hari ini.

Dalam program secara santai bersama-sama pengunjung yang berjoging di kawasan tersebut berjaya mengutip sampah-sampah kecil seberat lebih 6 kilogram.

Beliau gembira kerana sudah wujud kumpulan-kumpulan sukarelawan yang mengutip sampah di pesisiran Sungai Muar dan kawasan rekreasi di Tanjung Emas yang menjadi tumpuan orang ramai beriadah pada setiap pagi dan petang termasuk pada hari cuti dan hujung minggu.

Mereka ini kata beliau, tidak mengharapkan imbuhan tetapi melakukannya secara sukarela dan spontan tanpa arahan pihak MPM kerana sayangkan kebersihan persekitaran.