Menurut keluarga tersebut, Nurfarah Diana M. Zulkifli, 24, masih belum berkahwin dengan teman lelakinya itu yang dikenali menerusi laman sosial sejak kira-kira setahun lalu.

Menurut kakaknya, Nursyuhada, 29, keluarganya mahu Nurfarah pulang segera kerana mereka masih belum berkahwin selain ibu bapanya amat risau serta merindunya.

Nursyuhada mendakwa, adiknya yang tinggal di Skudai di sini sebelum ini dikenali sebagai seorang gadis yang baik, lucu, manja serta hormat dengan kedua ibu bapanya.

Namun adiknya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu berubah sikap dan watak selepas mengenali dan tinggal bersama-sama ibu bapa teman lelakinya.

“Sudah beberapa kali kami cuba mendapatkan semula Nurfarah daripada keluarga teman lelakinya tetapi tidak berhasil hingga kami membuat laporan di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis lalu kerana bimbang dengan keselamatannya.

“Rundingan ‘perebutan’ Nurfarah kemudian dilakukan di Balai Polis Kangkar, Skudai namun akhirnya kemenangan berpihak kepada keluarga lelaki berkenaan atas alasan adik saya bukan bawah umur dan dia mengikut atas kerelaan.

“Luluh hati kedua orang tua saya melihat anak perempuannya diambil depan mata tanpa pertolongan pihak berkuasa. Kami betul-betul rasa kecewa dan teranaiya dengan kezaliman ini,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Sebelum ini Nursyuhada melalui akaun Facebooknya memohon orang ramai membantu mendapatkan semula adiknya sebelum cerita tersebut menjadi tular dalam laman sosial.

Nursyuhada berkata, teman lelaki Nurfarah tidak pernah berjumpa ibu bapanya bagi mendapatkan restu untuk berkahwin dengannya.

Kes itu katanya, dipindahkan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tetapi pegawai penyiasat menutup kes berkenaan dan memberitahu kes dirujuk kepada pihak mahkamah.

Lebih mendukacitakan ujarnya, keluarga teman lelaki adiknya membuat empat laporan di Balai Polis Johor Jaya, Pasir Gudang mendakwa keluarga Nursyuhada mengganggu mereka. - UTUSAN

ONLINE