Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif berkata, pelaksanaan modul berkenaan yang dicetak pada akhbar pendidikan, Utusan Pelajar secara tidak langsung dapat membantu merangsang PAK-21 menerusi perhimpunan mingguan sekolah.

“Jabatan Pendidikan negeri menyokong sepenuhnya Modul 10 Minit Perhimpunan Sekolah ini yang dilihat bukan sahaja dapat menjayakan PAK-21 malah menambah nilai perhimpunan mingguan sekolah menerusi aktiviti-aktiviti yang diadakan dalam modul berkenaan.

“Sebanyak 42 modul yang di­ba­ngunkan akan merangsang PAK-21 secara bertema pada se­tiap minggu dengan memberi pe­nekanan dalam aspek pembangunan murid yang seimbang daripada segi akademik dan sahsiah,” katanya selepas melancarkan Modul 10 Minit Perhimpunan Sekolah Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Mohd. Suhaimi Mohamed Ali dan Guru Besar sekolah tersebut, Faridah Sukiran.

Pada majlis berkenaan, murid-murid, guru dan tetamu kehormat turut menjayakan aktiviti pembelajaran bahasa isyarat yang merupakan satu daripada 42 modul yang akan disiarkan dalam Utusan Pelajar setiap Isnin.

Modul berkenaan yang dibangunkan Utusan Pelajar dengan kerjasama IPGKIK itu merupakan satu daripada medium bagi menjayakan program penjenamaan Isnin Hari PAK-21 dan dilaksanakan pentadbiran sekolah mengikut tema berbeza setiap minggu seperti minggu sains, keusahawanan dan alam sekitar.

Format modul itu pelbagai antaranya termasuk lakon pera­nan, persembahan dan simulasi agar dapat memberikan impak positif yang berkekalan kepada semua murid secara inklusif tanpa mengira latar belakang sosial, tahap kepandaian, aliran perdana atau pendidikan khas dan juga Orang Asli.

Menurut Shaharudin, pihak­nya berharap agar Kumpulan Utusan dapat mengkaji impak dan keberkesanan modul ber­ke­­naan agar usaha itu dapat di­jalankan secara berterusan se­lain diberi penambahbaikan pa­da masa akan datang.

“Saya amat berbangga ba­gai­mana murid sekolah rendah dapat menjayakan sendiri akti­viti pembelajaran bahasa isyarat pada modul hari ini.

“Ia menunjukkan tahap ke­yakinan mereka bukan sahaja dapat berinteraksi dengan baik di hadapan orang ramai malah apa yang dipelajari itu dapat diaplikasikan di dalam dan luar bilik darjah,” katanya.