Menyedari kelebihan dan ‘kha­zanah’ berharga itu, kini kerajaan negeri menerusi Tourism Johor menggiatkan usaha untuk ‘menjual’ negeri ini ke seluruh pelusuk dunia, termasuk dalam kalangan negara ASEAN.

Menurut Pengerusi Jawatan­kuasa Pelancongan, Perdagang­an dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, tidak lengkap kunjungan seseorang pelancong ke Malaysia tanpa berkunjung ke Johor.

Ini kerana Johor menawarkan pakej pelancongan yang lengkap dan memenuhi semua kehendak serta keperluan pengunjung.

“Semuanya ada di sini seperti pusat beli-belah, pantai dan pulau yang cantik, homestay, tem­pat menarik, budaya ma­syarakat yang pelbagai serta taman tema untuk semua peringkat umur yang ha­nya terdapat di negeri ini.

“Berkunjung ke Johor pasti memberikan momen yang indah dan diingati selamanya” kata­nya.

Bagi menarik lebih ramai pe­lancong khususnya dalam kala­ngan anggota negara ASEAN, Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang telah mengetuai misi pe­lancongan ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam baru-­baru ini.

Yang turut menyertai rombo­ngan berkenaan ialah Pengarah Tourism Johor, Mohd. Gadaffie Abdul Aziz.

Selama tiga hari di bandar raya berkenaan, Siew Kiong turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Ho Chi Minh City Union of Friendship Organization ((HUFO), Le Hung Quoc, merasmikan Misi Xplore Johor, mengadakan lawatan ke pejabat Tourism Malaysia serta berkunjung ke Pasar Ben Thanh yang menjadi tumpuan pelancong asing di bandar raya ber­kenaan.

Beliau yakin jumlah pelancong dari Vietnam berkunjung ke Johor akan meningkat tahun depan, khususnya dari Ho Chi Minh yang mempunyai lebih lapan juta penduduk.

“Dalam pada itu, saya juga berharap semua agensi pelancongan dan pihak yang terlibat supaya menawar pakej lengkap dan terbaik kepada semua pe­langgan masing-masing.

“Ini penting kerana kita mahu kunjungan pelancong ke Johor akan menjadi kenangan yang terindah, sekali gus dapat menarik mereka datang lagi bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain pada masa akan datang,” katanya.