RASMAN ITHNAIN
RASMAN ITHNAIN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, pada masa ini, pembangunan fasa pertama bernilai RM15 juta yang dijangka siap pada hujung tahun ini tidak dapat menampung jumlah binatang liar itu yang kini kira-kira 30 ekor.

“Isu berkaitan gangguan gajah itu amat kritikal terutama di kawasan Sedili dan sudah berlaku lebih 20 tahun. Ini adalah soal keselamatan kerana telah berlaku beberapa kemalangan disebabkan gajah liar.

“Gajah-gajah itu juga sudah mula memasuki kawasan Felda, Felcra serta perkampungan dan memusnahkan tanaman. Kita khuatir gajah-gajah ini akan mengancam nyawa penduduk di situ,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebagai contoh, tambahnya, berlaku satu kemalangan melibatkan binatang liar itu dengan sebuah kereta di Batu 8, Jalan Mawai di sini malam kelmarin yang merupakan kes kelapan pada tahun ini.

Beliau berkata, jalan yang sering berlaku kemalangan itu melibatkan laluan ke kawasan pelancongan.

“Jadi, saya mengharapkan kerajaan yang ada pada hari ini sentiasa memikirkan untuk memberi peruntukan tambahan dalam bajet tak lama lagi supaya santuari itu diluluskan bagi pembangunan fasa seterusnya baru selesai isu gajah ini,” katanya.

Rasman memberitahu, kerajaan negeri tidak akan rugi membangunkan santuari itu kerana selain dapat menyelesaikan masalah yang boleh mengancam nyawa dan tanaman serta turut boleh dijadikan produk pelancongan. - UTUSAN ONLINE